Info Terkini

20.3.09

Tiada Konspirasi – Najib


Oleh ZULKIFLI JALIL

PUTRAJAYA 19 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak menolak unsur sabotaj dan ‘kambing hitam’ dalam tindakan Lembaga Disiplin terhadap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berhubung politik wang.

Timbalan Perdana Menteri yakin dengan kewibawaan badan yang diketuai Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail itu dalam memastikan UMNO bebas dari sebarang unsur penyelewengan dan salah guna kuasa.

‘‘Kita tidak boleh berdolak-dalik, kalau hendak bersihkan UMNO (dari politik wang), kita kena beri kepercayaan kepada Lembaga Disiplin.

‘‘Anggotanya telah diberi amanah, kena buat pendirian tegas, sama ada nak jaga nama baik UMNO atau membiarkan apa sahaja kegiatan dilakukan untuk berebut jawatan. Kalau sudah mula persoalkan niat dan nawaitu Lembaga Disiplin, nanti akan timbul implikasi,” katanya.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen perkhidmatan elektronik Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Beliau ditanya pendiriannya terhadap Lembaga Disiplin di sebalik cakap-cakap segelintir pihak yang meragui ketelusan lembaga itu melarang Mohd. Ali bertanding jawatan Timbalan Presiden setelah tiga ejennya didapati bersalah mengamalkan politik wang.

Mohd. Ali semalam menerima dengan hati terbuka hukuman Lembaga Disiplin terhadapnya dan akan mengemukakan rayuan kepada Panel Rayuan UMNO untuk membolehkannya meneruskan hasrat bertanding.

Ditanya mengapa Mohd. Ali masih terus menyandang jawatan Ketua Menteri Melaka kerana dikhuatiri akan memberi gambaran salah bahawa individu yang korup masih dibenarkan menerajui sebuah kerajaan negeri, Najib berkata:

‘‘Faktanya berlainan sebab kerja-kerja ini (politik wang) dilakukan oleh orang tertentu.

‘‘Sebab itu berdasarkan fakta, maka Lembaga Disiplin buat keputusan dia (masih terus) pegang jawatan (Ketua Menteri),” katanya.

Tiga ejen Mohd. Ali digantung keahlian selama tiga tahun oleh Lembaga Disiplin kerana kesalahan politik wang. Mereka ialah Setiausaha Politik beliau, Saadun Basirun; Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil, Rosli Hasan dan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Katil, Zalina Ismail.

Sementara itu, Najib yang ditanya mengenai kenyataan bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya Lembaga Disiplin jangan melayan sebarang rayuan terhadap mereka yang bersalah kerana ia hanya menjejaskan kredibiliti parti berkata:

‘‘Tak apalah, dia (mereka yang bersalah) ada hak untuk merayu, sama ada rayuan itu berjaya atau tidak, ia bergantung kepada Panel Rayuan.

‘‘Kita tidak boleh nafikan hak untuk seseorang itu membuat rayuan.”

0 komen diterima.:

Post a Comment

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]